‘Penyebar kaitkan saya dengan isu KFC haram dimakan fasik, dosa besar’: Pendakwah

Editor's Pick

October 25, 2017

BANGI, 5 Safar 1439H, Rabu – Penyebar yang mengaitkan saya dengan isu KFC haram dimakan adalah fasik dan sangat berdosa besar, kata pendakwah bebas, Datuk Md Daud Che Ngah.

 

Menafikan terlibat dengan penularan mesej palsu itu katanya, isu KFC haram itu sudah lama berlaku sekitar pada tahun 1987.

 

 

Bagaimanapun katanya, isu berkenaan ditular semula di media sosial seperti WhatsApp.

 

“Selepas 1987, perkara ini sudah senyap dan tidak ada apa-apa yag berlaku. Apa yang ingin saya katakan adalah penyebar berita ini adalah fasik dan tidak tabayyun.

 

“Dalam al-Quran sudah disebutkan, apabila mendapat satu berita itu tabbayun (siasat) dahulu di mana puncanya, kalau tidak kaum itu akan mendapat kejahilan daripada berita buruk ini.

 

 

“Saya anggap penyebar ini mereka yang fasik sekali dan sangat berdosa besar. Saya tidak redha dunia akhirat,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

 

Jelas beliau, masalah halal haram berkaitan KFC tidak timbul kerana KFC telah pun diambil alih Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan juga Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 1990.

 

“Mereka juga sudah buat pemantauan di tempat penyembelihan ayam. Perkara ini tak ada apa-apa isu pun, mengapa tiba-tiba timbul?

 

“Apa salah saya. Saya bukan jenis yang suka jatuhkan orang. Pendirian saya adalah memperbetulkan yang biasa, membiasakan yang betul,” katanya.

 

Sedih dengan penyebaran fitnah itu katanya, beliau berharap orang ramai tidak mempercayai mesej tular berkenaan.

 

“Apa salah saya. Dalam usia saya 71 tahun ini, mengapa ada yang sanggup nak jatuhkan saya? Saya ini siapa? Ketua Pengarah Jakim ke? Mufti ke? Ulama besar ke hingga ada yang percaya pada perkara sebegini,” katanya.

 

 

Source from : Ismaweb
Credit: Ismaweb

Leave a Reply

Your email address will not be published.

error: Content is protected !!