Seremban dan Gombak pulak banjir

Editor's Pick

Seremban dilanda banjir kilat

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan
bhnews@bh.com.my

SEREMBAN: Hujan lebat hampir tiga jam petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat, termasuk jalan utama berhampiran Wisma UMNO di pusat bandar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohamad Idris, berkata Jalan Tuanku Munawir dan Jalan Dato’ Sheikh Ahmad, di pusat bandar dinaiki air sedalam kira-kira 0.5 meter (m) kira- kira jam 6 petang tadi.

“Berdasarkan maklumat awal ada mangsa dilaporkan terperangkap dalam kenderaan kerana tidak dapat membuka pintu, namun ketika kita tiba mereka sudah keluar daripada kenderaan masing-masing.

“Banjir kilat mulai surut tidak lama kemudian selepas hujan reda. Bagaimanapun, kita meneruskan operasi menyedut air yang bertakung di kawasan rendah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, lima rumah dinaiki air sedalam kira-kira 0.3 m dalam kejadian banjir kilat di Taman Sri Pulasan Mutiara Galla, Jalan Labu di sini, jam 5 petang tadi, namun keadaan kembali pulih sejam kemudian.

Dalam pada itu, Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, berkata Taman Jasper di sini, turut terjejas dengan banjir kilat dengan lapan rumah dinaiki air kira-kira sedalam 0.3 meter.

“Lapan keluarga membabitkan 32 orang membuat keputusan untuk berpindah ke rumah saudara dan rakan untuk sementara waktu,” katanya.

Difahamkan, semua kejadian banjir kilat terbabit berlaku akibat longkang tersumbat sekali gus menjejaskan aliran air ketika hujan lebat.

 

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

 

Selepas Seremban, Gombak pulak banjir

KUALA LUMPUR – Hujan lebat lebih dua jam di ibu negara petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di Gombak dekat sini dilanda banjir kilat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata beberapa kawasan termasuk Batu 7 Hulu Kelang dan Kampung Sungai Pusu dinaiki air di antara 0.2 hingga 0.5 meter selepas hujan kira-kira 4 petang tadi.

“Hujan lebat di kawasan terbabit menyebabkan air Sungai Klang melimpah ke kawasan rumah berhadapan dengan sungai.

“Kira-kira empat rumah terjejas kerana air naik di perkarangan rumah namun tiada mangsa yang dipindahkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Sani berkata hujan lebat itu turut mengakibatkan tebing di sebatang jalan di Taman Mulia Jaya, Ampang dekat sini, runtuh.

“Kejadian kira-kira 5.30 petang itu mengakibatkan sebuah kereta Proton Wira rosak akibat dihempap tanah. Tiada mangsa dilaporkan cedera,” katanya.

error: Content is protected !!