Zuraida: Saya tak fitnah Jamal, segala saya kata benar

Editor's Pick

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin mendakwa bahawa dirinya tidak membuat sebarang kenyataan fitnah terhadap Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos.

Ini, kerana katanya, segala yang diperkatakan tentang diri pemimpin Umno itu adalah benar.

“Bagi saya, saya tidak membuat sebarang dakwaan yang memfitnah terhadap Jamal.

“Tuduhan fitnah adalah tuduhan palsu. Saya tidak tahu apa tuduhan khusus samannya itu, tetapi apa yang saya perkatakan adalah kebenaran,” kata Zuraida dalam mesej teks kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Jamal, yang sebelum ini berkata dirinya akan memfailkan saman fitnah terhadap ketua wanita PKR itu berhubung kata-katanya selepas penyelesaian mahkamah dalam kes berasingan.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, Jamal dialu-alukan untuk menyamannya.

“Dia sangat dialu-alukan untuk saman, kerana tingkah lakunya yang sebenar akan didedahkan di mahkamah,” katanya.

Selasa lalu, kes saman fitnah yang dibawa oleh Zuraida ke atas Jamal selesai selepas ketua gerakan Baju Merah itu menarik balik kenyataan yang dibuatnya pada 13 November tahun lalu berhubung dakwaan dirinya diserang ‘budak’ ahli parlimen Ampang itu.

Penarikan balik itu dibacakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim S Nantha Balan semasa proses mediatasi.

Walau bagaimanapun, Jamal mendakwa bahawa Zuraida telah berbohong pada sidang akhbarnya kemudian, yang menuduh dirinya memohon maaf.

Peguamnya berkata, mereka dengan sangat jelas semasa proses mediatasi mengatakan bahawa Jamal tidak akan meminta maaf.

Zuraida juga pada sidang akhbarnya didakwa berkata, bahawa dirinya berpuas hati kerana “berjaya menjinakkan” Jamal.

Beliau juga dilaporkan menggesa Jamal supaya tidak melakukan perkara-perkara “tidak siuman” dan membuli orang lain.

Menurut Jamal, beliau mendapati kenyataan itu cukup menghina dan dengan demikian, mengarahkan peguamnya untuk memfailkan saman fitnah baru terhadap ketua wanita PKR berkenaan.

Pada 13 November tahun lalu, Jamal berdarah pada hidungnya selepas mendakwa dirinya diserang dan ditumbuk dalam satu kejadian di Ampang Point.

Kejadian berlaku ketika Jamal bersama kumpulan Baju Merah mengekori Zuraida yang sedang mempromosikan perhimpunan BERSIH5 di pusat beli-belah itu.

Mereka kemudiannnya bergelut dan Jamal menyalahkan anggota polis kerana didakwa menumbuknya. Beliau kedengaran seperti berkata “polis tumbuk saya”.

Walau bagaimanapun, Jamal pada sidang akhbar kemudian dilaporkan berkata seorang daripada “budak Zuraida” telah memukulnya dan beliau yang jelas tidak berpuas hati dengan insiden itu dan memberitahu akan bertindak balas.

 

Berita Berkaitan: Jamal pula mahu saman Zuraida   (

 

Dua hari selepas Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menarik balik kenyataan yang dibuatnya terhadap Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, beliau berkata dirinya akan memfailkan saman fitnah terhadap ketua wanita PKR itu.

Ini antaranya berhubung kenyataan Zuraida pada sidang akhbar selepas beliau menarik balik tuduhannya pada Selasa lalu.

“Saya telahpun menarik kembali kata-kata saya, seperti yang saya katakan sebelum ini dan beliau pun bersetuju.

“Tetapi malangnya, di luar mahkamah beliau kata saya macam-macam, tidak siuman dan kata saya memohon maaf di depan hakim di mahkamah terbuka.

“Beliau kata dia berjaya menjinakkan saya, saya seorang yang buas. Jadi ini adalah satu kenyataan yang saya anggap cukup menghina.

“Saya telahpun mengarahkan peguam-peguam saya untuk saman YB Zuraida,” kata Jamal kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Pada sidang akhbarnya, selepas penyelesaian mahkamah, Zuraida didakwa berkata, bahawa Jamal telah memohon maaf kepadanya dalam penyelesaian itu dan bahawa dirinya berpuas hati kerana “berjaya menjinakkannya”.

Beliau juga dilaporkan menggesa Jamal supaya tidak melakukan perkara-perkara “tidak siuman” dan membuli orang lain.




error: Content is protected !!