Bahaya kaitkan kaum dengan jenayah, kata Ramasamy

Editor's Pick

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mendesak permohonan maaf daripada ketua polis Terengganu Aidi Ismail atas kenyataan yang mengaitkan gengsterisme dengan kaum.

Kata Ramasamy, sekiranya Aidi enggan, beliau perlu dilepaskan daripada jawatannya.

“Mengaitkan kaum tertentu di Malaysia dengan jenayah adalah sesuatu yang berbahaya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Aidi berkata salah satu sebab Terengganu bebas jenayah gangsterisme adalah kerana majoriti penduduk negeri itu Melayu.

“Di Terengganu, 97 peratus penduduk adalah Melayu dan mereka masih menghormati orang tua di kampung. Mereka hormat ketua kampung, imam dan bilal.

“Budaya hidup seperti ini adalah kelebihan yang boleh digunakan dalam membanteras jenayah gangsterisme,” katanya.

Ramasamy berkata, sangat tidak bertanggungjawab bagi seorang pegawai polis berpengalaman membuat kenyataan seperti itu.

“Jika pemikiran seperti ini wujud dalam kalangan polis, maka kita boleh faham kenapa orang dari kaum tertentu ditahan atas dakwaan gangsterisme.

“Polis tidak boleh membuat kenyataar liar dan tidak berasas seperti ini yang mewujudkan keraguan serius berkenaan siapa yang bertanggungjawab membanteras jenayah di negara ini,” tambahnya.

Ramasamy juga mempersoal sama ada persepsi seperti itu yang digunakan polis menahan kaum India dalam aktiviti yang dikaitkan dengan gengsterisme.

“Adakah disebabkan profiling perkauman ini kaum India sering dikaitkan dengan jenayah dan gengsterisme?

“Jika profiling perkauman cara yang digunakan membanteras gengstersime, saya minta maaf jika saya kata polis ketinggalan jauh di belakang (dalam membanteras jenayah),” katanya.

Beliau menambah polis tidak seharusnya terlibat dalam pemikiran perkauman dan tidak rasional.

Ramasamy turut menggesa ketua polis negara yang baru dilantik Mohamed Fuzi Harun menyelesaikan isu ini.

 

Sumber: Malaysiakini | 10 Nov 2017, 5:36 petang




error: Content is protected !!