‘Semua CCTV tak berfungsi ketika Koh diculik’

Editor's Pick

Tiga CCTV milik MBPJ dan polis trafik serta CCTV di Lebuhraya Damansara-Puchong didapati tidak berfungsi pada 13 Februari lalu.

KUALA LUMPUR: Semua kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat kejadian tidak berfungsi ketika Pastor Raymond Koh diculik pada 13 Februari lalu, kata pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

ASP Supari Muhammad berkata, 2 CCTV itu milik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), manakala 1 lagi milik polis trafik di Jalan Majlis serta Jalan Bahagia.

“Saya tulis surat kepada MBPJ untuk bertanyakan rakaman, tetapi mereka menyatakan tidak ada rakaman kerana kamera tidak berfungsi, manakala kamera trafik menangkap pelanggaran trafik juga rosak,” katanya di Ibu Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), hari ini.

Saksi ke-7 panel siasatan kehilangan Koh dan 3 yang lain itu menjawab soalan dikemukakan peguam keluarga Koh, Datuk Jerald Gomez mengenai laluan yang mungkin diambil penculik untuk melarikan diri dan kenapa tiada rakaman CCTV.

Supari berkata, MBPJ sebelum ini memaklumkan polis banyak CCTV mereka tidak berfungsi.

“Mereka memberi alasan penyelenggaraan terlalu mahal…kami mahu kamera litar tertutup untuk membanteras jenayah, tetapi setiap masa ianya rosak atau dalam proses penambahbaikan.”

Katanya, CCTV di Lebuhraya Damansara-Puchong juga tidak berfungsi apabila polis mahu mendapatkan rakaman penculikan.

“Kita telah menulis surat kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan kemudiannya dimaklumkan ianya tidak berfungsi.”

Sehubungan itu, Supari berkata, siasatan terjejas kerana beliau tidak boleh menunjukkan bukti rakaman CCTV kepada panel siasatan Suhakam.

Beliau turut memaklumkan panel siasatan CCTV yang dikendalikan MBPJ dihubungkan terus ke bilik gerakan IPD Petaling Jaya.

“Ia (CCTV) bukan untuk merekod, tetapi hanya tengok pergerakan (trafik).”

Koh, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari lalu, ketika dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya.

Rakaman CCTV di sebuah rumah berhampiran menunjukkan ia satu rancangan rapi melibatkan lebih 10 individu dan 7 kenderaan pada waktu siang.

 

Sumber: Free Malaysia Today | Khairil Ashraf | November 13, 2017

error: Content is protected !!