‘Kristian Sabah tubuh tadika sendiri kerana takut ditukar agama’

Editor's Pick

Beberapa komuniti Kristian di kampung-kampung negeri Sabah memilih menubuhkan tadika mereka sendiri kerana takut para pentadbir persekutuan akan menukar agama anak-anak mereka kepada Islam, menurut ahli sosiologi Datuk Dr Denison Jayasooria.

Beliau menggesa kerajaan agar lebih sensitif kepada keadaan rakyat setempat memandangkan sebahagian besar penduduk Sabah dan Sarawak beragama Kristian berbanding negeri-negeri lain di negara ini.

Sebaliknya, kata beliau sebahagian besar penjawat perkhidmatan awam datangnya daripada satu etnik dan latar belakang agama sahaja.

“Jadi, sama ada pihak kerajaan – dalam sistem penyampaiannya – perlu memastikan pasukan pelbagai etnik atau sesiapa jua penjawat awam (yang bertanggungjawab) mesti lebih sensitif terhadap agama, budaya, bahasa dan keturunan etnik kumpuluan dominan di sesuatu daerah,” kata beliau.

Beliau berkata tadika komuniti itu ditubuhkan melalui gereja setempat dan entiti swasta.

Pelihara bahasa asal

Selain takutkan anak-anak mereka yang masih kecil mudah terdedah untuk pertukaran agama, Denison berkata para penduduk juga cuba memelihara bahasa asal mereka.

Perkara ini juga terjadi kepada etnik India, satu lagi kumpulan sosial yang menjadi kajian denison.

Beliau berkata 95 peratus penduduk India Malaysia hanya berpusat di 38 daerah daripada 150 daerah di Malaysia.

“Maksudnya kakitangan awam, peruntukan bajet perlu berbeza. Kita tidak memandang demografi setempat dengan serius dalam pentadbiran (kerajaan),” beliau memberitahu wartawan di Petaling Jaya hari ini.

Beliau bercakap dalam sebuah panel perbincangan awal hari ini berkenaan kebebasan beragama pada majlis Malaysia Freedom Summit anjuran badan pemikir Institute for Leadership and Development Studies (LEAD).

 

Sumber: Malaysiakini | Hari ini, 12:17 am




error: Content is protected !!