Kevin kendali kes PM, Rosmah; ‘AKM’ di kertas pertuduhan

Editor's Pick

 

Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan enam lelaki termasuk pakar patologi angkatan tentera untuk membeli diri terhadap pertuduhan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya disumbat di dalam guni dan disimen, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu terhadap Kolonel Dr R. Kunaseegaran, 54; R.Dinishwaran, 25; A.K Thinesh Kumar, 24; M.Vishwanath, 27; S. Nimalan, 24, kesemuanya penganggur dan S.Ravi Chandaran, 46, seorang peminjam wang, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

“Setelah meneliti keterangan kes pihak pendakwaan dengan penelitian maksima di bawah peruntukan Seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah dan kes-kes yang tersohor, mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie,” kata Azman.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Selepas mahkamah membacakan keputusan itu, adik Kevin Morais, Datuk Richard Dilaan Morais tersenyum gembira sambil menepuk tangannya.

Mahkamah menetapkan enam hari bermula 18 Jan tahun depan untuk kesemua tertuduh membela diri.

Dr Kunaseegaran; Dinishwaran; Thinesh Kumar; Vishwanath; Nimalan; dan Ravi Chandaran, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara jam 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015.

Sebelum ini, Dr Kunaseegaran menghadapi pertuduhan bersubahat dengan lima lelaki itu dalam kes pembunuhan Kevin Morais tetapi pada 15 Mei lepas pertuduhan terhadapnya dipinda kepada pertuduhan membunuh.

Pada 20 Dis 2016, tertuduh kedua dalam kes pembunuhan itu, G.Gunasekaran, telah ditawarkan atas pertuduhan menyembunyikan mayat dan melupuskan kereta Kevin Morais mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

Gunasekaran,49, pengurus logistik, mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan dihukum penjara dua tahun bermula dari tarikh tangkap pada 15 Sept 2015. Dia kemudiannya menjadi saksi pihak pendakwaan pada perbicaraan kes bunuh itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin manakala peguam Datuk N.Sivananthan mewakili Dr Kunaseegaran; peguam V. Rajehgopal mewakili Vishwanath, Nimalan dan Ravi Chandaran manakala peguam M. Manoharan mewakili Dinishwaran dan Thinesh Kumar.

Pihak pendakwaan memanggil 70 saksi pada perbicaraan kes itu yang berlangsung selama 57 hari bermula pada 6 April 2016.

Mayat Kevin Morais, 55, ditemukan di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini, pada 16 Sept 2015.

Mendiang dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015 dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini untuk ke Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

Sementara itu, peguam pemerhati bagi keluarga Kevin Morais, Datuk Simon Sabapathy, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata dengan keputusan mahkamah itu beliau berharap keluarga mendiang akan mendapat keadilan sewajarnya. — BERNAMA

 

CC By KiniTV

Published on Nov 17, 2017

Category: News & Politics

License: Standard YouTube License

error: Content is protected !!