Ahli politik Sweden tuduh orang Islam ‘separa manusia’

Editor's Pick

Martin Strid didesak letak jawatan oleh kepimpinan partinya selepas mengaitkan orang Islam dengan IS…

PETALING JAYA: Seorang ahli politik Sweden didesak letak jawatan selepas menuduh orang Islam “separa manusia” semasa perbahasan secara langsung di TV.

The Independent melaporkan ahli parti Demokrat Sweden, Martin Strid mencetuskan kontroversi apabila beliau menyenaraikan orang Islam pada skala 0 daripada 100 semasa berucap pada persidangan kebangsaan parti haluan kanan itu.


“Pada satu skala, anda adalah 100% manusia, seseorang, semuanya menjadi sebahagian daripada konsep itu. Tetapi pada akhirnya, anda adalah 100% Mohammedan,” katanya menggunakan istilah lama untuk merujuk penganut Islam.

Ahli parti yang lain segera mengecam kenyataannya di mana setiausaha parti, Richard Jomshof berkata dakwaan Strid bersifat “perkauman”.

“Semua orang mempunyai nilai asas manusia, sama bagi setiap orang. Jika anda rasa seseorang mempunyai nilai buruk berdasarkan warna kulit tertentu atau mereka daripada komuniti tertentu, itu adalah rasisme bagi saya. Kita tidak dapat menerima tuduhan itu,” kata Jomshof.
Strid cuba membela dirinya dengan berkata anggota IS “hampir 100% adalah orang Islam” dan “semua orang Islam berada pada skala yang sama”.

 

Ahli lembaga parti dan ahli parlimen Aron Emilsson kemudian secara rasmi menjarakkan parti itu daripada Strid.

“Kami dari kepimpinan parti mengambil jarak yang jelas daripada Strid. Kami membantah caranya mengategorikan individu dan menilai manusia berdasarkan kepercayaan agama. Ia bertentangan dengan pandangan asas kita tentang maruah manusia,” katanya.

Kenyataan Emilsson itu tidak mendesak Strid melepaskan jawatan tetapi berkata “akan menanganinya dengan beberapa cara”.

Strid kemudiannya meminta maaf atas kenyataannya selepas mendapat kritikan.

“Ia sangat malang, saya menzahirkan diri saya dengan tidak cermat,” katanya meninggalkan parti beberapa jam kemudian.

Bagaimanapun, pemimpin parti, Jimmie Åkesson menolak kontroversi itu dengan berkata beliau tidak pernah mendengar ucapan Strid sebelum ini.

“Dalam kes ini sangat jelas jika ia bukan perkauman tetapi sangat dekat dengan perkauman,” kata Åkesson.

Sweden dijadual akan mengadakan pilihan raya umum pada September tahun depan di mana parti Sweden Demokrat menjadi parti paling popular di negara itu, menurut satu undian.

Tinjauan YouGov pada Mac mendapati hampir suku (23.9%) rakyat negara itu berkata mereka akan mengundi parti tersebut pada pilihan raya nanti.

 

Sumber: FMT | November 28, 2017

error: Content is protected !!