‘Tak macam Langkawi tapi HIV tertinggi di Kelantan’

Editor's Pick

Pendapat Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa pembangunan di negeri itu sengaja dilambatkan untuk mengelak masalah sosial dibidas parti lawan.

Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Kelantan, Khairul Nizam Abd Ghani berkata, dalam keadaan PAS melengahkan pembangunan sekali pun, masalah moral masih menjadi isu utama di negeri itu.

“Jika pembangunan yang pesat mengundang keruntuhan moral seperti kegiatan arak di Langkawi, kenapa Kelantan memperlahankan pembangunan tapi masih berlaku keruntuhan moral di kalangan masyarakat.

“Sebaliknya, Kelantan pula mencatatkan kes tertinggi HIV, pil kuda dan kekotoran sisa pepejal kesan moral rakyat sendiri,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Calon pilihan raya PSM bagi DUN Kota Lama itu berkata pertumbuhan yang lembab di Kelantan berpunca daripada kefahaman ekonomi yang lemah oleh para pemimpinnya.

Semalam Malaysiakini melaporkan, Mohd Amar mengakui kerajaan Kelantan sengaja melambatkan pembangunan di negeri itu kerana khuatir tidak dapat diikuti oleh rakyat seiring kemajuannya.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu mengambil contoh pembangunan di Langkawi, Kedah yang dikatakan memberi kesan besar terhadap kesan sosial masyarakat setempat.

Sementara itu Ketua Pemuda Parti Amanah negara (AMANAH) Kelantan Hazmi Hassan berkata pembangunan fizikal bukan hanya bermaksud mengambil tanah untuk membina bangunan seperti difahami Mohd Amar.

“Antara erti pembangunan ialah dengan memberi perhatian kepada kebajikan dan memenuhi keperluan rohani dan jasmani manusia.

“Pembangunan juga menyentuh cara urus kekayaan dan hasil negeri dengan perkongsian supaya manfaat dirasai bersama,” katanya.

Beliau memberikan contoh industri pertanian di Kelantan yang disifatkan ketinggalan jauh di belakang tanpa sebarang inovasi daripada kerajaan negeri.

“Dan banyak lagi sektor tidak dibangunkan di Kelantan seperti industi pelancongan, kebudayaan dan industri kreatif.

“Sekiranya pembangunan hanya membina bangunan yang difahami beliau, saya sarankan beliau mendalami maksud sebenar pembangunan demi rakyat Kelantan,” tegasnya.

Sumber: Malaysiakini | 21 Dec 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published.

error: Content is protected !!