Umno: Kelantan sengaja menidakkan kegagalan

Editor's Pick

Kerajaan Kelantan scuma mahu menutup kegagalan sendiri dengan alasan pembangunan negeri sengaja diperlahankan, kata Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa.

“Sebab kita tahu Malaysia ini bukan negara yang terasing daripada dunia, dunia bergerak pantas. Jadi kalau sengaja melambatkan pembangunan, kita kena ada alasan kukuh.

“Kecuali kita adalah orang yang mahu membentuk satu masyarakat yang ada penyakit rendah diri, tak berani nak bersaing.

“Kalau kerana kita takut kalah dalam perlumbaan, maka kita pun memperlahankan, tapi jangan fikir bila kita perlahankan orang akan ikut rentak kita. Dunia tetap akan bergerak ke hadapan,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menegaskan Kelantan bawah pemerintahan PAS sengaja melambatkan pembangunan fizikal kerana khuatir rakyat tidak mampu mengikuti perkembangannya.

Annuar yang juga anggota Parlimen Ketereh berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Strategi Lautan Biru (NBOS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan di Kampung Chetok, Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim dan pengarah JBPM negeri Nazili Mahmood.

Sementara itu Annuar berkata, Kelantan sebagai sebuah negeri tidak ada sebarang kekurangan dan mesti membina persediaan serta keupayaan bersaing dengan negeri lain.

“Negeri Kelantan pada saya tidak ada apa-apa kekurangan. Tak perlu bagi orang Kelantan ada rasa rendah diri atau masa orang lain laju kita terpaksa perlahan.

“Saya fikir orang Kelantan boleh buat apa saja yang orang lain buat. Tiada sebab untuk kita mengasingkan diri kita.

“Orang lain bergerak laju, kita gerak perlahan, orang lain nak kemodenan kita nak undur ke belakang. Dan kita sengaja nak mencari alasan.

“Saya fikir apa yang disebut oleh timbalan menteri besar adalah satu tindakan bagi menidakkan kegagalan. Bukan satu sifat baik bagi seorang pemimpin.

“Bahkan banyak perkara yang boleh kita lakukan, malah dalam sesetengah perkara Kelantan lebih maju daripada negeri lain,” jelasnya.

‘Ikut rentak pusat’

Tambah beliau, kerajaan Kelantan kini perlu mengikut rentak kerajaan persekutuan dalam membangunkan negeri.

“Bawah pentadbiran Datuk Seri Najib (Razak), dengan dasar lebih terbuka banyak penbangunan turut dibawa ke Kelantan.

“Saya selalu ingatkan kepimpinan supaya jangan abaikan Kelantan. Kita ketepikan politik, pada pilihan raya kita serah kepada rakyat Kelantan untuk pilih (parti) yang mana,” katanya.

 

Sumber: Malaysiakini | 26 Dis 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published.

error: Content is protected !!