Bolehkah Isa Samad diselamatkan sekali lagi?

Editor's Pick

AHLI politik veteran Mohd Isa Abdul Samad tidak pernah sunyi daripada kontroversi sejak berkecimpung dalam politik Malaysia pada 1978 selepas menang kerusi Linggi, Negeri Sembilan, dan kemudian dilantik menjadi exco negeri sehingga 1982.

Bekas guru itu mengetuai pentadbiran Negeri Sembilan selama 22 tahun sebagai menteri besar sejak 1982. Keahliannya dalam Umno digantung selama tiga tahun dari Jun 2005 hingga Jun 2008. Pada mulanya keahlian beliau digantung enam tahun, tetapi dikurangkan kepada tiga tahun.

Hukuman tersebut dibuat oleh lembaga disiplin parti yang mendapati beliau terbabit dalam politik wang ketika bertanding untuk jawatan naib presiden bagi tempoh 2004-2007. Beliau didapati terbabit membeli undi.

Beliau menang dalam petandingan jawatan naib presiden dengan meraih 1,507 undi berbanding pencabarnya ketua menteri Melaka pada masa itu, Mohd Ali Rustam (1,329) dan Muhyiddin Yassin yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri dengan 1,234 undi.

Pada masa lalu, Mohd Isa Samad pernah berdepan cabaran dan kegagalan dalam politik, tetapi beliau tetap mampu mengatasinya. – Gambar fail TMI, 1 Januari, 2018.

Tetapi kemenangannya dibatalkan ekoran kes rasuah tersebut.

Kini, ketua Umno Bahagian Teluk Kemang yang popular itu terpalit lagi dengan kes rasuah melibatkan pemilikan tanah Felda bernilai RM270 juta di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dipindahkan dalam keadaan mencurigakan.

Lembaga pengarah Felda mendakwa mereka tidak tahu menahu mengenai transaksi itu, yang berlaku ketika Isa menjadi pengerusinya.

Siasatan dalam kes tanah di Jalan Semarak itu masih dijalankan.

Felda, agensi yang ditubuhkan pada 1956 bertujuan untuk menangani penempatan semula golongan luar bandar yang miskin ke kawasan pembangunan baharu dan menyusun pekebun kecil, sepatutnya menjadi platform terbaik bagi Isa untuk kembali dalam arena politik selepas penggantungannya.

Sebagai pengerusi Felda dari 2011-2017, Isa menyelia kawasan rancangan yang menempatkan kira-kira 54 daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara.

Kawasan ini merupakan bank undi kerana 1.2 juta pengundi di tanah rancangan yang membentuk 5% daripada jumlah pengundi dalam negara memilih parti kerajaan sejak enam dekad lalu. Tentulah ini satu “deposit tetap” bagi Umno.

Tetapi ahli politik berusia 68 tahun itu mensia-siakan peluang untuk memenangi hati dan budi peneroka Felda dan kembali ke arena politik apabila masalah mula timbul pertengahan 2017 ketika timbul pertengkaran pengurusan antara Isa dan CEO Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Zakaria Arshad.

Susulan itu timbul dakwaan salah pengurusan yang kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Desakan supaya Isa yang juga lembaga pengarah FGV disingkirkan menjadi semakin kuat apabila Zakaria diminta meletak jawatan dan seterusnya digantung tugas, apabila beliau enggan berbuat demikian.

Ketika Isa dilantik oleh kerajaan pada 2011, tugas utamanya ialah untuk membimbing Felda sehinga FGV, pengeluar minyak mentah terbesar dunia, berjaya disenaraikan. Felda tersenarai pada 2012 dengan penuh gahnya, namun pendapatannya terus merudum pada masa ia dilingkari tuduhan rasuah.

Isa disingkir dari jawatan pengerusi apabila prestasi Felda semakin buruk dan semakin banyak aduan diterima.

Dalam perkembangan lain, Isa direman selama lima hari pada 17 Ogos, 2017 bagi membolehkan SPRM menyoal siasatnya berhubung pembelian hotel di London oleh Felda Investment Corporation (FIC), yang turut ditadbirnya sebagai pengarah bukan eksekutif dari 2013 hingga 2017.

SPRM menyiasat dakwaan berhubung percanggahan dalam urusan pembelian Hotel Park City di kawasan mewah Kensington di London antara 2013 dan 2015. FIC dilaporkan membeli hotel itu pada harga tinggi RM330 juta berbanding harga pasaran RM110 juta pada masa itu.

Ahli politik veteran Mohd Isa Abdul Samad ketika dibawa ke mahkamah majistret di Putrajaya pada Ogos lalu oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi mendapatkan reman dalam skandal Felda. – Gambar fail TMI, 1 Januari, 2018.

Selain itu, urus niaga yang mencurigakan dalam pembelian Hotel Merdeka Palace di Kuching, Sarawak oleh Felda juga disiasat.

Isa tiba di kompleks mahkamah Putrajaya dengan kenderaan MPV berwarna hitam, ketika pendakwaan memohon perintah reman. Beliau memakai baju tahanan reman SPRM berwarna oren ketika dibawa ke mahkamah, tetapi tidak digari atas “sebab kesihatan”.

Walaupun bekas pengerusi Felda itu nampak tenang ketika disoal oleh pegawai SPRM, beliau dilaporkan tidak dapat memberikan jawapan yang jelas dan tegas tentang perkara itu ketika keterangannya diambil.

Pada masa lalu, Isa turut berdepan cabaran dan kegagalan dalam politik, tetapi beliau tetap mampu mengatasinya. Misalnya, selepas penggantungan keahliannya dalam Umno dibatalkan, beliau bertanding bagi kerusi Jempol dalam pilihan raya umum 2004 – dan menang.

Beliau kemudian dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutuan sehingga 2005 di mana beliau terpaksa mengosongkan jawatan itu kerana didapati bersalah atas tuduhan mengamalkan politik wang dalam pemilihan parti berkenaan.

Pada 2009, Isa kembali lagi. Beliau dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Bagan Pinang bagi mengisi kekosongan selepas kematian Adun Azman Mohammad Noor. Isa menang dengan majoriti 5,435 undi, menewaskan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar.

Kemenangan Isa itu dianggap “mengembalikan maruah Umno” kerana ia merupakan kemenangan pertama untuk BN selepas tewas dalam sembilan PRK terdahulu.

Ia dianggap kemenangan besar memandangkan BN masih lagi cuba pulih selepas hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dalam PRU 2008.

Selain itu, beliau juga masih berpengaruh besar dalam di kalangan penyokong Umno di Teluk Kemang, Negeri Sembilan, antara negeri yang bakal menyaksikan persaingan sengit dalam PRU akan datang.

Beliau juga disukai oleh sesetengah pengundi bukan Melayu di negeri itu, terutama sekali kerana beliau pernah membantu penduduk kampung Cina di Lukut mendapatkan geran tanah yang diduduki selama bertahun-tahun.

Dalam latar ini, pelantikan Isa sebagai pengerusi Felda oleh Perdana Menteri Najib Razak dianggap sebagai langkah strategik.

Isa nampaknya masih mempunyai pengaruh politik, walau dengan pencapaiannya yang teruk di Felda. Selepas disingkirkan dari Felda dan jawatannya diganti oleh Shahrir Samad, Isa dilantik memangku jawatan pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), yang rata-rata menganggap sebagai “habuan” daripada Najib.

Namun begitu, persoalan masih timbul, sama ada nasib Isa dalam politik masih dapat diselamatkan atau tidak kali ini oleh pucuk pimpinan.

Ini memandangkan, Umno dan BN perlu membuat taruhan besar dalam pilihan raya umum kali ini kerana akan menghadapi cabaran kuat dari pembangkang yang kembali bergabung. – 1 Januari, 2018.

Sumber: The Malaysian Insight | 1 Jan 2018

Leave a Reply

Your email address will not be published.

error: Content is protected !!