Bukan mudah Anwar nak terima Mahathir semula

Editor's Pick

Dengan pelbagai kenangan dan peristiwa yang melatari hubungan mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui tidak mudah untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyokong ketua umum PKR itu menerima beliau sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN).

 

Dalam ucapannya di Konvensyen HARAPAN di Shah Alam hari ini Dr Mahathir berkata walaupun pada zahirnya kedua-dua mereka berjabat tangan tidak mudah untuk mereka menerima bekas musuh politik untuk menjadi pemimpin.

Mengakui proses mendamaikan suasana itu memakan masa yang panjang Dr Mahathir berkata kedua-dua pihak akhirnya mengalah demi mengutamakan perjuangan mengubah kerajaan di negara ini.

“Bukan saja Anwar, malah keluarga beliau merasai kekangan. Mereka menderita selama 20 tahun. Untuk melupakan peristiwa ini bukan mudah.

“Saya berasa amat terhutang budi dan mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar yang sanggup bekerjasama dengan pasukan ini – termasuk saya – dalam usaha menyelamatkan negara bertuah ini,” katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan yang memenuhi Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) itu.

Anwar mula dikenali sebagai aktivis mahasiswa sebelum menjadi pemimpin berpengaruh melalui Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Diyakini bakal menyertai politik melalui PAS, Dr Mahathir membuat kejutan apabila mengumumkan kemasukan Anwar ke dalam Umno pada 1982.

Beliau kemudian mendaki hierarki Umno dengan lancar sehingga menduduki jawatan timbalan perdana menteri serta timbalan presiden Umno. Kedua-duanya di bawah Dr Mahathir.

Bagaimanapun hubungan kedua-dua mereka menjadi retak sebelum terbelah pada 1998 ekoran tuduhan salah laku seks serta rasuah yang menyaksikan Anwar dipecat daripada parti serta kerajaan.

Pemecatan itu melahirkan gerakan reformasi yang menuntut pembaharuan dalam negara serta menuntut Dr Mahathir berundur daripada jawatan perdana menteri.

Dengar kecaman dulu

Anwar pula disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan dihukum penjara.

Selepas hampir dua dekad berseteru, Anwar dan Dr Mahathir bersemuka untuk kali pertama pada Sept 2016 dan bertolak dari situ mereka mula mengadakan perbincangan dalam persiapan menghadapi BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Mengikut perlembagaan, parlimen akan terbubar secara automatik pada Jun ini untuk membolehkan PRU ke-14 diadakan. Namun biasanya kerajaan akan membubarkan parlimen lebih awal.

Tidak seperti kebanyakan negara demokrasi, kerajaan Malaysia merahsiakan tarikh pembubaran parlimen serta PRU sehingga ke saat-saat akhir dan ia menyukarkan pembangkang membuat persediaan yang sepatutnya.

Kata Dr Mahathir di pihaknya juga tidak mudah untuk beliau menyertai gerakan yang pernah menyebabkan rasa tidak senang kepadanya suatu ketika dulu.

Pengkritiknya juga, kata Dr Mahathir, pernah menggelarnya dengan pelbagai panggilan seperti maha zalim, maha firaun serta istilah lain yang jelik.

“Tapi oleh kerana kita berusaha menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak, saya sanggup dengar kecaman parti yang memusuhi saya dulu,” katanya.

 

Sumber: Malaysiakini | 7 Jan 2018




Leave a Reply

Your email address will not be published.

error: Content is protected !!