MCA bukan kawan saya, kata Nazri

Editor's Pick

Ahli Parlimen Padang Rengas selama 3 penggal itu percaya MCA bahagian itu akan terus memboikotnya kerana belum ada sidang media untuk menarik balik kenyataan mereka memboikotnya sejak PRU13.

PETALING JAYA: Datuk Seri Nazri Aziz berkata, MCA bukan kawannya kerana pada pilihan raya umum (PRU) 2013, MCA Bahagian Padang Rengas bertindak memboikotnya dan menyebabkan hubungannya dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu menjadi teruk.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu dalam wawancara khas bersama China Press percaya MCA Bahagian Padang Rengas akan terus memboikotnya kerana sehingga kini belum ada sidang media untuk menarik balik kenyataan mereka memboikotnya.

“Seluruh jawatankuasa MCA Bahagian Padang Rengas memboikot saya, malah tidak menyokong saya secara terbuka, saya boleh buat apa? Jadi, MCA bukan kawan saya,” katanya kepada akhbar itu.

Menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata, perkara itu jelas menunjukkan siapa yang tidak mengamalkan semangat BN.

Katanya, pemimpin MCA perlu memahami dan memberi perhatian terhadap tindakan setiap bahagian kerana PRU14 akan diadakan tidak lama lagi.

Difahamkan, dendam Nazri dan MCA bermula ketika Tan Sri Dr Chua Soi Lek menerajui parti itu. Nazri yang ketika itu mahu bertanding PRU13, bergaduh dengan Chua melalui akhbar berbahasa Cina.

MCA Bahagian Padang Rengas yang merupakan penyokong Chua kemudiannya bertindak memboikot Nazri.

Nazri mula mewakili BN pada PRU 1995 dan 1999 di kerusi Parlimen Chenderoh, Perak sebelum beralih ke kerusi Parlimen Padang Rengas pada 2004 dan berjaya mempertahankannya buat 3 penggal berturut-turut.

Pada PRU13, beliau menewaskan calon PKR, Meor Ahmad Isharra Ishak dengan majoriti 2,230 undi.

Sementara itu, Nazri bertegas tidak akan meminta maaf kepada Tan Sri Robert Kuok kerana menyerangnya disebabkan taikun itu mengkritik kerajaan BN menerusi memoirnya.

Beliau turut mengingatkan MCA tidak menjadikan perkara itu isu perkauman kerana beliau ialah “menteri BN” yang mewakili kerajaan BN, jadi beliau akan membalas sebarang kritikan terhadap kerajaan, termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“MCA perlu tahu saya hanya bercakap mengenai perkara ini dan saya bukan sengaja mengkritik sesiapa pun dalam masyarakat Cina. Ketika saya komen isu Robert Kuok, saya tidak pernah sebut atau menyerang MCA, saya tidak faham kenapa MCA menyerang saya?”

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, beliau tidak takut dan tidak akan meminta maaf walaupun berdepan seluruh jentera pilihan raya MCA secara bersendirian.

“Sekarang mereka (MCA) mengecam saya, disebabkan mereka memilih untuk menyerang saya, maka saya akan melawan dan tidak mengelak.”

Katanya, beliau menghormati demokrasi dan seorang yang profesional, dakwaannya MCA tidak boleh mewakili masyarakat Cina kerana parti itu kalah teruk di kawasan majoriti pengundi Cina pada PRU13 dan hanya memenangi 7 kerusi Parlimen.

Nazri berkata, beliau mempunyai hubungan baik dengan DAP dan parti itu meraih kebanyakan undi Cina pada PRU13 sehingga diberikan mandat mentadbir Pulau Pinang, oleh itu beliau berkata DAP mewakili suara masyarakat Cina kerana menghormati keputusan PRU13.

“Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ialah ketua menteri Pulau Pinang, ini adalah sebab saya bekerjasama dengannya kerana DAP ialah kerajaan negeri itu, orang Cina sudah membuat keputusan.”

Katanya, beliau menghormati kenyataan perdana menteri mengenai isu ini, tetapi MCA tidak patut mengheret Datuk Seri Najib Razak dalam isu berkenaan.

Sumber: FMT | 2018.03.03

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

error: Content is protected !!