SPRM Kedah tahan pegawai kanan polis disyaki makan suap

Editor's Pick

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang pegawai kanan polis berpangkat ASP dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang semalam kerana disyaki menerima suapan berjumlah RM15,000.

Menurut sumber SPRM lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada 4.30 petang semalam berhampiran sebuah restoran di Bandar Perda, Bukit Mertajam dekat Pulau Pinang susulan aduan tentang suspek dikatakan menerima suapan itu bagi menyelesaikan kes disiasatnya berkaitan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

“SPRM Kedah yang menerima aduan di pejabatnya di Alor Setar kemudian bertindak menahan suspek dan merampas wang untuk suapan tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Berhubung kes ATIPSOM itu, sumber itu berkata lelaki tersebut membuat siasatan berkaitan kes itu pada 31 Julai lepas dan seramai empat suspek dipercayai terlibat dengan kes berkenaan telah ditahan sebelum mereka dilepaskan dengan jaminan polis pada 2 Ogos lepas.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan tentang penahanan pegawai polis berkenaan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata suspek dibawa ke Mahkamah Alor Setar hari ini sebelum mendapat perintah tahanan reman selama empat hari bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.

Berita: Bernama | Malaysiakini | 8 Ogs 2018

error: Content is protected !!