SPRM tahan bekas ADUN Kedah bergelar Datuk

Editor's Pick

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah hari ini menahan seorang bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini bergelar Datuk bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana khas Menteri Besar sebanyak RM30,000.

Sumber SPRM berkata bekas ADUN berumur lingkungan 60-an itu ditahan ketika beliau hadir bagi memberikan keterangan di Pejabat SPRM Kedah kira-kira 4 petang tadi.

Menurut sumber itu lelaki berkenaan disyaki memohon untuk menggunakan dana itu Februari tahun lepas dengan tujuan bagi menganjurkan satu program, bagaimanapun setelah diluluskan wang tidak digunakan untuk tujuan berkenaan.

Sumber itu berkata bekas Adun berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret di Alor Setar pagi esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi Bernama malam ini mengesahkan tentang penahanan itu.

Berita: Bernama | Malaysiakini | 13 Ogs 2018

error: Content is protected !!