Rosmah ditahan SPRM, bakal dituduh di mahkamah esok

Editor's Pick

Isteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata Datin Seri Rosmah Mansor diberkas oleh pegawai agensi antirasuah itu kira-kira jam 3.20 petang tadi.

Katanya ketika itu Rosmah sedang memberi keterangan kepada penyiasat SPRM.

“Beliau akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk didakwa esok,” katanya kepada Malaysiakini.

Penahanan Rosmah itu dibuat hampir lima jam selepas beliau tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan berhubung siasatan agensi terbabit mengenai skandal 1MDB.

Terdahulu beliau tiba – untuk kali ketiga – di situ kira-kira jam 10.40 pagi ditemani peguamnya Datuk K Kumaraendran.

Pada 24 Sept lalu Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata agensi antirasuah itu sudah menamatkan siasatan ke atas Rosmah dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Untuk rekod pada minggu lalu Rosmah menghabiskan masa hampir 13 jam memberi keterangan di Putrajaya.

Laporan media juga menyebut Rosmah mungkin dihadapkan sehingga 20 pertuduhan jenayah.

Sementara itu kenyataan dikeluarkan SPRM petang ini berkata penahanan tersebut dibuat selepas mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

“Susulan itu, Rosmah akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Rosmah akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 8 pagi esok untuk pertuduhan tersebut,” katanya.

Sementara itu dalam reaksinya berhubung penahanan itu, Najib memberitahu Malaysiakini, SPRM tidak memaklumkan kepada pihaknya mengenai dakwaan yang akan dikenakan ke atas Rosmah.

“Ya, dia ditahan.”

“Kami belum diberitahu mengenai dakwaan (yang akan dikenakan). Peguam Rosmah masih tidak mendapat akses kepada anak guam mereka setakat ini,” katanya.

Berita: Malaysiakini | 2018-10-03

error: Content is protected !!