Tidak betul Hishammuddin keluar Umno, kata Zahid

Editor's Pick

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan desas desus kononnya Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan keluar parti itu dan menyertai BERSATU tidak lama lagi.

“Itu semua tidak betul. Tidak betul.”

“Saya sudah berjumpa dengan beliau,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online, hari ini.

Presiden Umno itu berkata, khabar angin yang tersebar membabitkan ahli parlimen Sembrong itu akan membawa pemimpin di bahagian Umno berkenaan untuk menyertai BERSATU juga sebagai tidak betul.

Ahmad Zahid yang juga ketua pembangkang mengulas spekulasi kononnya Hishammuddin akan keluar Umno dan menyertai BERSATU dan seterusnya akan diserap menyertai kabinet.

Pada September lalu, Hishammuddin mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir selama hampir dua jam di Putrajaya.

Bagaimanapun, Hishammuddin menjelaskan pertemuan itu hanya ingin mendengar rancangan perdana menteri untuk masa depan bangsa dan negara.

Malah, bekas Menteri Pertahanan itu pernah menafikan akan keluar Umno sebelum ini.

Ahmad Zahid juga diminta wartawan untuk mengulas sama ada akan ada lagi ahli parlimen Umno akan keluar parti selepas ini.

“Saya belum dengar lagi ada yang nak keluar parti. Setakat yang saya tahu, tidak ada,” katanya.

Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli adalah anggota keenam yang meninggalkan Umno.

Dengan hanya 48 anggota parlimen yang tinggal, ia akan menjadikan Umno bukan lagi parti terbesar dalam Dewan Rakyat. Ketika ini, PKR mempunyai 50 kerusi.

September lalu, Anggota Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman dan Anggota Parlimen Jeli Datuk Mustapha Mohamed keluar Umno.

Sebelum itu, tiga anggota parliemen Umno telah meninggalkan parti itu. Mereka ialah Anggota Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Anggota Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Noor Azmi Ghazali.

Berita: Malaysiakini |17 Okt 2018




error: Content is protected !!