Irwan Serigar, RM7 juta dan sebuah Myvi hitam

Editor's Pick

Pasti ramai yang berasa janggal apabila melihat Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah sebaik beliau tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Masakan tidak, pada pukul 3.25 petang tadi, beliau muncul di pekarangan utama bangunan dengan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi berwarna hitam.

Kecuali dirinya memang meminati model itu, ia pastinya tidak kena dengan kedudukannya sebagai bekas ketua setiausaha perbendaharaan negara ketika pentadbiran BN.

Apatah lagi Kementerian Kewangan baru saja mendedahkan pendapatan yang diterima Irwan sepanjang menjadi penjawat awam, di Dewan Rakyat.

Menurut jawapan parlimen menterinya Lim Guan Eng semalam, Irwan menikmati gaji sebanyak RM2,944,095.61 juta sepanjang kira-kira tujuh tahun di Perbendaharaan.

“Maklumat ini adalah emolumen sebagai ketua setiausaha perbendaharaan sahaja, tidak termasuk pendapatan lain seperti elaun ahli lembaga pengarah yang jauh lebih besar,” kata Lim yang kemudian memaklumkan Irwan memegang jawatan sebagai pengarah, pengerusi eksekutif dan pengarah bukan bebas bukan eksekutif di 23 syarikat bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Bagi tempoh 2012 hingga Jun 2018, katanya lagi, Irwan mendapat RM3,867,667.92 menerusi kedudukannya sebagai ahli lembaga pengarah di syarikat-syarikat itu.

Ia menjadikan jumlah terkumpul kira-kira RM7 juta sepanjang tujuh tahun perkhidmatannya.

Irwan ke SPRM hari ini bagi membantu siasatan berhubung urus niaga 1MDB dengan International Petroleum Investment Co (IPIC).

Beliau ditahan di lokap SPRM dan difahamkan akan didakwa – bersama-sama Datuk Seri Najib Razak – di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkaitan urus niaga 1MDB dengan IPIC, kes berkaitan BR1M dan dana pencen.

Berita: Malaysiakini | 24 Okt 2018

error: Content is protected !!