SPRM: Orang ‘kuat’ Najib tinggalkan Malaysia sebelum PRU14

Editor's Pick

Bekas Pengarah Urusan Apco Worldwide Malaysia, Paul Geoffrey Stadlen telah meninggalkan Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) Mei lalu.

Menurut Bernama, perkara itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

“Memang betul dia sudah meninggalkan Malaysia sebelum PRU14,” katanya ketika disoal mengenai lokasi warga British yang dicari bagi membantu siasatan SPRM mengenai skandal 1MDB.

Akhbar antarabangsa, The Daily Mail melaporkan Stadlen, 39, dipercayai terbang ke London sebelum ke lokasi lain yang tidak diketahui.

Menurut laporan itu, dia didakwa melarikan diri dari negara ini dan kemungkinan terbang ke London namun tidak menyatakan waktu Stadlen keluar dari negara ini.

Lelaki warga Britain itu beralamat terakhir di Unit A-29-8, Blok A, Loft Sentral Condominium, Jalan Stesen Sentral 5, KL Sentral, Kuala Lumpur.

Pada tahun 2009, adalah dilaporkan bahawa Apco memenangi kontrak kerajaan dan Stadlen dihantar ke Malaysia sebagai pengarah urusan di pejabat baru di Kuala Lumpur untuk berkhidmat dengan kerajaan Malaysia dan perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Kontrak itu dianggarkan bernilai RM3 juta setahun.

Bagaimanapun, urusan Apco dengan Putrajaya menjadi kontroversi selepas pendedahan bahawa firma perhubungan awam itu juga bekerjasama dengan apa yang disebut sebagai “pelobi Yahudi” di Washington, sehingga memaksa pentadbiran Najib membatalkan kontrak berkenaan.

Berikutan itu, Stadlen kembali ke FBC Media.

Pada tahun 2011, Sarawak Report mendedahkan bahawa FBC Media memenangi kontrak bernilai RM84 juta dan RM15 juta dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan kerajaan negeri Sarawak untuk mempromosi Najib dan ketua menteri Sarawak ketika itu, Abdul Taib Mahmud dan pelbagai projek kerajaan kepada stesen berita UK dan AS seperti BBC, CNBC dan CNN.

Ini menyaksikan kontrak media FBC kemudiannya ditamatkan kerana ia melanggar undang-undang penyiaran di UK dan AS.

Berita: Malaysiakini | 13 Nov 2018

error: Content is protected !!