Pencuci kereta ditahan liwat pelajar

Editor's Pick

Polis menahan dua pekerja pencuci kereta di sini kerana disyaki meliwat seorang pelajar perempuan berusia 10 tahun di sebuah kampung di Labuan.

Ketua Polis Labuan, Supt Muhamad Farid Ahmad berkata datuk kepada pelajar perempuan itu telah membuat laporan polis pada pukul 3 pagi semalam selepas mangsa menceritakan kepadanya kejadian itu yang didakwa berlaku antara pukul 6 petang dan 7.30 malam hari Isnin.

Datuk pelajar itu telah membawanya ke hospital pada pukul 2 pagi semalam dan pemeriksaan terhadapnya menunjukkan ada tanda-tanda dia diliwat, katanya.

Muhamad Farid berkata kedua-dua pekerja berkenaan yang berusia 19 dan 22 tahun, ditangkap pada pukul 10 pagi semalam selepas mereka pada mulanya menafikan melakukan perbuatan itu.

Mereka dihadapkan ke mahkamah hari ini dan diperintahkan ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan, kata beliau.

Pesalah liwat yang disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara antara lima dan 20 tahun serta disebat.

Berita: Bernama | Malaysiakini | 2019.01.09

error: Content is protected !!