PM diminta campur tangan krisis kepimpinan DPMM

Editor's Pick

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) meminta campur tangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berikutan krisis kepimpinan yang melanda pertubuhan itu.

Syed Hussien Alhabshee dalam suratnya kepada Mahathir, menjelaskan bahawa dirinya kini memangku jawatan presiden DPMM.

Ia selepas perwakilan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada Nov lalu mendapat keputusan majoriti mengundi untuk menyingkirkan presiden mereka, Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir.

“Kami juga buat keputusan minta bantuan daripada perdana menteri untuk lihat perkara yang kita hadapi.

“Kita juga dah hantar surat pada Mahathir beritahu saya pemangku presiden yang baru dan meminta ahli majlis bertemu dengan perdana menteri untuk selesaikan perkara ini.

“Sekarang ada kekeliruan sebab tu kita terpanggil untuk cerahkan keadaan supaya ahli tahu pasukan sebenar (pimpinan sebenar),” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di Ampang, hari ini.

Menurut Syed Hussien lagi, Rizal berkeras tidak mahu melepaskan jawatan presiden walaupun ahli majlis eksekutif mendapat undi majoriti untuk menolaknya.

Selain itu, kata Syed Hussein, Rizal juga turut mengambil tindakan disiplin terhadap 18 exco yang lain dengan dakwaan menggulingkan presiden.

Bagaimanapun pasukan yang menolak Rizal membawa perkara itu ke mahkamah untuk menghalang Rizal dan setiausaha agung pertubuhan itu, Don Nazwim Don Najib daripada melaksanakan usul yang diputuskan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) untuk menggugurkan jawatan mereka sebagai anggota Majlis Eksekutif DPMM (MED) kerana menganjurkan EGM.

Akses disekat

Untuk rekod, DPMM kini berpecah kepada dua pasukan yang menyokong Rizal dan 17 ahli eksekutif yang bersama Syed Hussien.

Krisis DPMM terjadi selepas Syed Hussien dan exconya mendapati berlaku transaksi “luar biasa” sebanyak RM5 juta melibatkan Rizal berhubung peruntukan dari Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Wang tersebut dikatakan digunakan untuk pilihan raya umum (PRU) ke-14, tanpa kelulusan jawatankuasa exco.

Susulan itu, ketika EGM, perwakilan membuat undi tidak percaya kepada Rizal.

Sidang media itu turut dihadiri dua Naib Presiden DPMM Norsyahrin Hamidon dan Halim Husin serta Setiausaha Agungnya Mohd Azmi Ali.

Sementara itu, Norsyahrin berkata, terdapat ahli DPMM yang telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis terhadap transaksi tersebut.

“Memang ada dalam kalangan ahli buat laporan SPRM dan polis kami difahamkan siasatan sedang dijalankan,” katanya.

Norsyahrin turut berkata pasukannya kini berpindah di pejabat DPMM yang lain memandangkan Rizal enggan melepaskan jawatan presiden.

“Kita berpindah di Ampang sebab pejabat yang ada sekarang masih digunakan mantan presiden.

“Akses kita telah disekat, jadi kita terpaksa jalankan kelangsungan kita. Kita juga dah maklumkan pada pendaftar pertubuhan (ROS) pejabat kita,” katanya.

Berita: Malaysiakini | 2019.01.15




error: Content is protected !!