Pekerja pembersihan terima pingat PJK

Editor's Pick

Tidak pernah termimpi pekerjaan sebagai pekerja pembersihan yang sering dipandang serong sesetengah masyarakat, dihargai malah menjadikan dirinya antara yang bertuah dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Chan Mun Thye, 60, yang bertugas di Unit Sapu Jalan Pusat Bandar SWM Environment Sdn Bhd (SWM), meluahkan rasa terharunya apabila menerima PJK sempena Hari Keputeraan Yang dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir Ke, 71, di Istana Besar Seri Menanti, semalam.

Beliau yang bekerja di syarikat itu sejak 16 tahun lalu tidak menyangka insan sepertinya akan dihargai sehingga berpeluang menerima pingat sedemikian.

Menceritakan detik-detik beliau dimaklumkan akan menerima anugerah itu, Chan berkata baru-baru ini penyelianya ada meminta gambarnya tanpa memaklumkan padanya bahawa ia untuk augerah tersebut.

“Saya berikan dan tidak syak apa-apa kerana ketika itu saya sangka untuk tujuan persaraan saya iaitu pada pada 4 Januari lalu. Tidak lama selepas itu saya menerima surat menyatakan saya akan menerima Pingat Jasa Kebaktiaan.

“Ketika itu saya sangat terharu dan pada masa sama gembira,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan ke-71 Tuanku Muhriz di Istana Besar Seri Menanti di Kuala Piliha, semalam.

Chan merakamkan ucapan terima kasih kepada SWM, Tuanku Muhriz dan kerajaan negeri kerana memberi peluang kepada saya menerima pingat tersebut.

Ibu kepada empat anak itu berkata, walaupun sudah bersara wajib awal bulan ini, tetapi dia menyambung kontrak pekerjaan itu kerana mahu memberikan perkhidmatan kepada syarikat selagi terdaya.

“Selepas Tahun Baharu Cina saya mula kerja semula… saya suka dengan kerja saya kerana tidak susah hanya memastikan kebersihan kawasan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Teo Kok Seong berkata penghargaan yang diberikan oleh kerjaan negeri itu bertujuan menghargai sumbangan yang diberikan.

Katanya, dua lagi pekerja SWM iaitu pemandu jentera Abd Kadir Abd Ghani dan Shaik Dawood AASM Shaik Mohamed akan menerima pingat sama pada sesi pengurniaan akan datang.

Berita: Bernama | Malaysiakini | 2019.01.15

error: Content is protected !!