Tengku Mahkota Kelantan bakal nikahi wanita Sweden

Editor's Pick

Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, 45, akan melangsungkan perkahwinan dengan wanita Sweden, Sofie Louise Johansson, 33 pada 19 April ini.

Ketua Istiadat Istana Kelantan Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata istiadat perkahwinan diraja itu akan berlangsung secara sederhana dan tertutup pada malam berkenaan di Istana Balai Besar di Kota Bharu.

“Yang Teramat Mulia Tuanku turut bertitah agar cenderamata-cenderamata ber sempena istiadat perkahwinan baginda disumbangkan kepada badan-badan kebajikan di negeri Kelantan seperti Yayasan Orang Kurang Upaya (YOKUK), rumah anak-anak yatim dan orang tua serta Persatuan Bulan Sabit Merah.

“Yang Teramat Mulia Tuanku berharap agar sekelian rakyat dapat mendoakan perkahwinan baginda kelak akan dipermudahkan dan dirahmati Allah SWT sehingga ke jannah,” katanya pada sidang media di Istana Balai Besar di Kota Bharu, hari ini.

Tengku Mohamed Faziharudean berkata istiadat perkahwinan itu akan dimulakan dengan akad nikad dan disusuli dengan majlis persandingan serta jamuan diraja.

“Istiadat berkenaan akan dihadiri oleh kerabat terdekat Diraja Kelantan dan kenalan-kenalan terdekat baginda.

“Mungkin selepas istiadat perkahwinan baginda akan berangkat ke majlis-majlis bersama rakyat untuk memperkenalkan isteri yang merupakan kenalan lamanya kepada rakyat,” katanya.

Sebelum ini kad undangan perkahwinan Tengku Mahkota Kelantan tular menerusi media sosial.

Berita: Bernama | Malaysiakini | 6 Apr 2019




error: Content is protected !!